Nelayan cerita kisah ngeri dan siksa semasa di tahan kumpulan Abu Sayyaf
KUALA LUMPUR: Dua daripada 5 nelayan rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Filipina pada Julai tahun lepas melalui detik menyeksakan sepanjang lebih 8 bulan berada dalam tahanan kumpulan pengganas itu.
Tayudin Anjut, 45, dan Abdul Rahim Summas, 63, yang diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, malam tadi.
Menurut Tayudin, mimpi ngeri kru kapal tunda Serudong 3 itu bermula apabila diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah, pada 18 Julai 2016.
Tayudin dan Rahim yang kini mengalami pelbagai masalah kesihatan berkata, mereka sering diseksa seperti hamba abdi dan hanya diberi sisa makanan kumpulan terbabit serta meminum air masin untuk terus hidup.
“Kami disuruh memasak untuk mereka dan hanya sisa makanan mereka akan diberikan kepada kami…jika tiada lebihan makanan, maka tiada makanan untuk kami.
“Mata kami sering ditutup dan tangan kami sering diikat…kami juga sering dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain pada waktu malam di dalam hutan tidak diketahui,” katanya sambil menangis kepada pemberita hari ini.
Kedua-dua mangsa culik itu pagi tadi bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menzahirkan sendiri penghargaan kepada kerajaan yang tidak berputus asa menyelamatkan mereka.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Filipina yang menyelamatkan kami, sepanjang 8 bulan, kami tidak putus harapan dan percaya kami akan diselamatkan satu hari nanti,” katanya.
Menceritakan detik mereka diselamatkan, Tayudin berkata, dia dan Rahim dibawa orang kampung menaiki perahu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina.
“Pada malam itu, kami berdua tidak tahu kami sedang diselamatkan, malah 3 lagi rakan yang turut diculik juga tidak mengetahuinya dan tidak dapat diselamatkan ketika itu,” katanya.
Tayudin dan Rahim yang masih trauma, berkerusi roda dan tidak mampu berjalan akibat diseksa ketika diculik, turut mengalami masalah penglihatan dan akan dirawat di Hospital Selayang sebelum dibawa pulang ke Sabah.
Kedua-dua mangsa juga mengalami masalah pundi kencing tidak berfungsi akibat terpaksa meminum air masin.
Kedua-duanya dipertemukan dengan keluarga mereka di kediaman perdana menteri di Jalan Taman Duta di sini, sambil disaksikan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Tayudin disambut isterinya Rustia Sultan, 47, dan 2 anak mereka, iaitu Nurerin Farisha, 13, dan Mohd Fahirin, 5, manakala Rahim disambut anak keduanya Rasniyati, 40, dan beberapa anggota keluarga lain. Mereka tidak dapat menahan air mata daripada mengalir sejurus bertemu.
Menurut Tayudin, penculik membenarkan mereka menghubungi keluarga melalui telefon beberapa kali dalam tempoh tersebut, dan setiap kali itu juga, penculik mengugut akan membunuh mereka.
Rahim yang menghidap darah tinggi berada dalam keadaan lemah mengadu sakit di seluruh badan dan tidak boleh melihat dengan jelas.
Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan 3 lagi rakan Tayudin dan Rahim yang turut diculik – Fandy Bakran, 27; Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, sudah diselamatkan tengah malam tadi.
by noreply@blogger.com (Rakyat Sembang) via BERITA RAKYAT
0 comments:
Post a Comment