Lelaki Arab bikin kecoh di persembahan Zapin Malaysia

Persembahan ghazal dan tarian zapin di Riyadh International Book Fair (RIBF) 2017 menjadi kecoh apabila seorang lelaki yang tidak dikenali bertindak mencampak mikrofon serta alat muzik ke lantai sambil membantah acara tersebut, pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira 8.50 malam waktu tempatan pada Khamis ketika sekumpulan 12 pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor sedang membuat persembahan bagi memenuhi permintaan penganjur RIBF, iaitu Kementerian Kebudayaan dan
Penerangan Arab Saudi sebagai acara kebudayaan.

Bagaimanapun, tindakan warga Arab tersebut dibantah pengunjung lain yang sejak awal berpusu-pusu memenuhi Pavilion Malaysia yang teruja dengan persembahan zapin dan ghazal sejak ia dipertontonkan pada majlis perasmian RIBF,
Rabu lalu yang disempurnakan Menteri Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi Dr Adel Zaid al-Toraifi.

Malaysia diundang kerajaan Arab Saudi sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku yang bermula dari 8 hingga 17 Mac itu.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata pihak Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf di atas kekecohan kecil yang berlaku itu.

Menurut kenyataan itu, pihak Arab Saudi menegaskan ia merupakan tindakan individu dan siasatan sedang dibuat agensi keselamatannya bagi mengenal pasti individu terbabit.

"Persembahan di Pavilion Malaysia akan diteruskan berikutan sambutan hangat masyarakat Arab Saudi terhadap zapin dan ghazal dan sebagai langkah berhati-hati, kawalan keselamatan di pavilion akan diperketatkan sepanjang persembahan berlangsung," kata kenyataan itu.

Persembahan zapin serta ghazal dibawa bagi memeriahkan Pavilion Malaysia di RIBF yang berlangsung selama 11 hari atas permintaan Arab Saudi yang melihat seni sebagai satu di antara cabang ilmu yang menyokong pertumbuhan tamadun manusia.

Bagaimanapun, penari disyaratkan hanya lelaki dan persembahan dua kali sehari itu antara lain bertujuan menarik pengunjung memeriahkan acara ilmu di RIBF dan ia nyata berjaya dengan sambutan luar biasa diterima Pavilion Malaysia dalam pelbagai bentuk pulangan pelaburan termasuk jualan buku. - Bernama

Lelaki Arab bikin kecoh di persembahan Zapin... oleh kinitv
by noreply@blogger.com (Rakyat Sembang) via BERITA RAKYAT

Share this:

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment