Kan dah kena rampas
Kuala Lumpur: Sebanyak 203 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota dirampas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kesalahan tidak menetap, penghuni tidak sah dan penghuni warga asing.
Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, jumlah itu merangkumi empat kawasan PPR sepanjang pemeriksaan yang dijalankan sejak awal tahun ini.
Katanya, 103 unit daripada jumlah keseluruhan dirampas ketika menjalankan operasi bersepadu dengan beberapa agensi lain.
“Kawasan unit yang dirampas adalah PPR Kepong, PPR Muhibbah, PPR Desa Rejang dan juga PPR Kerinchi yang dilaksanakan rampasan unit pada hari ini (semalam).
“Terdapat beberapa unit di PPR lain yang sudah dikenal pasti untuk rampasan seterusnya,” katanya pada taklimat sidang media Operasi Rampasan Unit Bersepadu di PPR Kerinchi Lembah Pantai, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, sebanyak 19 unit dirampas yang mana 11 unit atas kesalahan penghuni tidak sah manakala lapan lagi melakukan kesalahan tidak menetap.
Muzammer berkata, selain rampasan unit, pihaknya turut mengambil tindakan mengunci meter air pada 173 unit yang disasarkan selepas mempunyai tunggakan sewa unit melebihi RM1,000.
Sehingga Mei ini, DBKL menyasarkan rampasan keseluruhan sebanyak 400 unit PPR selepas membuat bancian harian di kawasan yang dikenal pasti melanggar peraturan perumahan.
by noreply@blogger.com (Rakyat Sembang) via BERITA RAKYAT
0 comments:
Post a Comment