Kenakan tindakan penjawat awam rasuah, titah Agong


agong
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam.

Seri Paduka bertitah walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Justeru, beta mengalu-alukan tindakan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

“Rakyat juga perlu memberi sokongan dengan tidak terlibat sebagai pemberi rasuah atau memiliki dokumen terperingkat tanpa kebenaran,” titahnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri S. A. Vigneswaran, barisan menteri, ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tetamu jemputan serta dif kehormat.

Seri Paduka turut merakamkan penghargaan ke atas kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kadar jenayah, membasmi fahaman radikal dan ajaran sesat serta ideologi militan yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.



“Tidak dilupakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memainkan peranan sangat penting dalam menjaga keselamatan negara, tanpa kita sedari pengorbanan mereka tidak terhingga demi tanah air tercinta.

“Beta serta kerajaan akan terus memperkukuhkan kedua-dua pasukan keselamatan tersebut,” titah Seri Paduka dan menambah, kerajaan berhasrat untuk meningkatkan perolehan kelengkapan dan kenderaan, menjaga kebajikan anggota seperti menyediakan kuarters dan sebagainya.

Sultan Muhammad V juga mengalu-alukan langkah kerajaan menempatkan lebih banyak aset dan fasiliti keselamatan seperti pangkalan operasi hadapan helikopter serta “Sea Basing” di perairan Pantai Timur Sabah bagi meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.

Kerjasama dan persefahaman yang telah dicapai dengan kerajaan Filipina berhubung kawalan keselamatan di Laut Sulu telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara terutama dalam bidang keselamatan, titah baginda.

Menyentuh keadaan ekonomi bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh, kerajaan komited untuk meneruskan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai sasaran bajet berimbang pada 2020.

“Justeru, kerajaan akan terus berusaha gigih untuk mengambil langkah konkrit bagi meningkatkan lagi saiz ekonomi daripada RM1.3 trilion pada masa ini kepada RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.

“Di samping itu, untuk jangka panjang, kerajaan akan turut berusaha menjadikan Malaysia antara 20 negara ekonomi utama dunia,” titah Seri Paduka.

Sultan Muhammad V juga bertitah penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia memberi kesan terhadap rakyat, namun penyusutan ringgit disebabkan faktor luaran dan dalaman.

“Beta percaya, kerajaan akan bertindak dengan komitmen sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” titahnya.

by noreply@blogger.com (Rakyat Sembang) via BERITA RAKYAT

Share this:

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment