9 Perkara Saya Belajar Ketika Hampir Bankrap Akibat Berbisnes
Dear brothers and sisters,
Pengalaman seorang usahawan (Bahagian 1).
Hari ni nak berkongsi pengalaman saya sebagai seorang usahawan kepada mereka yang berminat untuk membaca agar dapat mengambil iktibar daripada turun naik hidup saya.
Cerita saya bermula ketika saya berumur 29 tahun di mana pada masa itu saya berkerja sebagai seorang pegawai bank yang bergaji sekitar RM4000 (sekitar tahun 2000). Kalau nak kira mewah juga masa tu. Tapi dengan wang yang ada saya tetap rasakan ada sesuatu missing dalam hidup jadi saya ambil keputusan berhenti kerja dan mulakan bisnes IT solutions dengan member. Masa tu isteri mengandung anak pertama dan dari situ satu demi satu cobaan bermula.
Setelah berhempas pulas hampir setahun tanpa gaji dan bayar kos operasi bulanan dengan simpanan dan kad kredit cash advance kerana nak develop software dengan kawan-kawan, akhirnya syarikat kami dapat geran RM500,000.
Kalau nak kira masa tu memang happy giler kerana dapat duit tapi pada hari nak finalize kontrak tersebut saya menarik diri daripada syarikat yang saya bangunkan dari kosong dengan kawan-kawan pasal saya rasa tak yakin dengan perangai mereka yang lain kerana duit tak masuk tapi perangai dah mula berubah.
Jadi saya setuju untuk tidak menuntut sesen pun pelaburan saya apabila meningalkan syarikat tersebut. Malas nak turun naik mahkamah bertekak dengan pengarah-pengarah lain. Masa tu ada lebih kurang RM100,000 saya sudah laburkan dalam bentuk tunai dan cash daripada kad kredit.
Memang kalau nak kira kenapa saya nak menyusahkan diri sendiri, tetapi saya selalu percaya kalau hati dah rasa macam tak kena … better walk away.
Duit boleh cari yang penting don’t giveup.
Masa tu memang dah hampir diisytiharkan bankrap tapi saya pergi menghadap semua bank yang saya berhutang dan buat deal minta mereka jangan bankrapkan saya kerana kalau nanti bankrap memang sah lagi susah saya nak bayar hutang tersebut.
Alhamdulillah mereka setuju pada cadangan saya untuk bayar hutang pada tahap paling minimum iaitu RM300 setiap bank. Kalau tak silap saya masa tu dengan Ambank, Citibank, Bank Rakyat dan Maybank.
Pengajaran daripada bahagian 1 ini:
1. Masa kahwin jangan amik pinjaman (saya sangkut dengan Bank Rakyat). Dahlah masa tu baru nak mulakan hidup dengan isteri. Belum ambil pinjaman rumah sudah kena bayar loan kahwin.
2. Janganlah ramai sangat rakan kongsi. Masa buat bisnes IT tu partner 6 orang. Lagi ramai partner lagi banyak karenah. Direction bisnes pun mungkin jadi tunggang-langgang pasal setiap director ada idea masing-masing.
Control share pun pening pasal pecahan pegangan share yang besar boleh mewujudkan team A dan team B. Macam parti politik pula.
3. Kalau dah ada kad kredit janganlah menggatal nak ambil cash advance. Giler tinggi rate kena bayar balik. Kalau tak ada duit buat macam tak ada duit.
4. Kalau ada hutang dengan bank tapi dah hampir sangkut dari segi pembayaran, janganlah lari atau buat bodoh. Jumpa mereka dan mereka akan cuba bantu. Diaorang pun tak nak rugi jadi they will try to help you.
Hidup Semakin Mencabar
Dear brothers & sisters,
Pengalaman seorang usahawan (Bahagian 2).
Sebelum saya sambung, saya nak kongsi sikit realiti mengenai diri saya. Nak kata saya ni ustaz, takdelah macam tu tapi satu benda yang saya bersyukur ialah sifat saya dari kecil sampai sekarang jenis “easy come and easy go”. Kiranya kalau jadi apa-apa saya terima sahaja takdir yang telah ditetapkan.
Pasal saya perasan kita ni sebagai manusia kadang-kadang sayang sangat bab benda-benda keduniaan. As simple as handphone hilang boleh stress berminggu-minggu. Masa benda-benda yang menimpa saya ini terjadi, Alhamdulillah saya OK jer. Memanglah kalau ikutkan pening tetapi pasal mentaliti saya percaya bahawa Tuhan sudah kasi akal jadi selagi saya cuba buat yang terbaik, sooner or later something good akan timbul juga.
Berbalik pada cerita kita, masa sudah kering sangat bab kewangan saya buat sahaja apa yang boleh, yang penting kerja tu halal.
Jadi benda yang paling mudah ialah jadi kontraktor bumiputeralah. Terus pergi SSM memohon status dan buka enterprise.
Setiap hari baca suratkhabar cari iklan job gomen, cubalah masuk beberapa tapi tak mengena. Akhirnya rezeki pun datang dalam bentuk pembekalan peralatan makmal untuk Mardi.
Nak kata job besar tidaklah, nilai hanya sekitar RM70,000 dan Alhamdulillah dapatlah untung RM8,000 kalau tak silap saya (by the way, ini open tender dan tiada rasuah punya).
Dapat sahaja job terus cari maklumat pembekalan dan buat deal dengan diaorg untuk supply. Oleh kerana modal tak ada tapi kontrak dah dapat, saya pergi factoring (sila Google ya untuk faham konsep factoring) company dan jual kontrak tu jadi dapatlah modal untuk cover projek.
Selain jadi pembekal, ada juga buat kerja-kerja ukur-mengukur. Kerja ini memang stress sedikit, bila duduk ukur longkang yang hendak dibaiki terpaksa dengar tuan rumah berleter, anjing tak habis-habis menyalak dan paling best buat kerja tengah bulan puasa. Habis kurus dan kulit masa tu gila gelap. Isteri pun sampai sedih tengok saya.
Tapi seperti mana saya beritahu dia, selagi bumbung ada untuk kita dan anak-anak, insyaAllah everything will be fine. Pasal realitinya ramai orang lagi teruk daripada saya jadi buat apa nak merungut (ini adalah salah satu kepercayaan dan menjadi pegangan saya). Tetapi saya bersyukur isteri saya bekerja jadi dialah yang banyak membantu saya pada masa tu.
Selepas itu saya networking dengan towkey franchise kedai cermin mata yang masa tu tengah cari pinjaman dan hendak buat kertas kerja bank oleh kerana pinjaman dia agak besar. Jadi saya tawarkan diri buat kertas kerja dia and Alhamdulillah dapatlah job lagi satu. Masa itu dia cakap konsultan syarikat besar-besar mahu caj dia RM80,000 dan akan ambil masa 4 ke 6 bulan untuk siapkan kerja tu tetapi saya cakap saya akan buat kerja itu dalam masa 2 bulan and caj RM20,000 sahaja. Masa kita susah ni jangan berkira sangat, dapat job jalan saja yang penting kenalah deliver.
Pada masa sama, saya dan beberapa kawan lain berniaga di foodcourt jual menu nasi goreng. Kalau semua nak tahu sayalah antara tukang masak masa itu. Oklah masa saya masak takdelah orang hantar balik makanan atau keracunan makanan hehehe. Tapi kerja bisnes makan bukan mudah, pagi-pagi sudah kena bangun pergi gerai untuk siapkan dapur. Kalau raya pun kena kerja, ingat lagi raya pertama staff balik jadi sayalah kena masak. Masa tu gerai di Rasa Foodcourt Alamanda.
Kalau malam pula dengan kawan-kawan yang sama kami sewa kedai di Puchong buat satay. Masa tu bayar makcik-makcik tolong cucuk satay. Biasanya keesokan pagi ada supplier datang ambil stok kami. Memang letih tapi saya rasa cukup gembira kerana boleh sediakan duit secukupnya untuk bantu isteri saya membesarkan anak-anak kami.
Pada masa yang sama, kereta saya kena tarik dua ke tiga kali. Tapi macam biasa masa brother nak datang tarik saya tak ada pun nak marah-marah. Biasalah diakan tengah menjalankan kerja dia so it’s ok. Cuma saya tanya kalau tarik kereta nak hantar ke mana jadi senang kalau ada duit nanti boleh ambil semula kereta tu. Tapi akhirnya saya pergi ke bank minta lelong terus dan bakinya saya bayar ikut ansuran bulanan. Masa tu kenalah kongsi kereta dengan isteri pergi sana-sini.
Dalam buat macam-macam kerja, saya memohon juga cari kerja tapi bukannya senang nak dapat kerja. Biasalah umur pun dah lanjut. Masa tu umur dalam 33-34 tahun kalau tak silap. Memang saya ada degree and pengalaman kerja tapi masa tu nak cari kerja eksekutif saya terlalu tua dan kalau nak dapat kerja bahagian pengurusan pula terlalu muda. Memang masa tu rasa stuck tapi saya tetap cuba apply tiap-taip minggu.
Kalau ikutkan hati frust juga pasal kawan-kawan lain kerja semua dah power-power tapi bagi saya tak perlulah jealous tetapi saya jadikan benda itu sebagai motivasi untuk bekerja lebih kuat. Yang penting usaha and tawakal. Itu yang tak faham kenapa orang sekarang asyik pergi kelas motivasi sedangkan the greatest motivator is God (dahlah takde caj apa-apa untuk bermotivasi dengannya).
Lagi satu benda saya boleh kongsi dengan anda, masa tengah tak ada duit tu saya tetap beri duit kepada ibubapa saya tapi itupun pinjam duit orang. Bukan apa sebagai anak saya rasakan itu tanggung jawab kita. Tak kiralah RM50 ke RM100, yang penting kenalah beri pada mereka, barulah berkat sikit hidup ini.
Kesimpulan daripada bahagian 2:
1. Kalau hidup kita teruk macam mana pun, ada yang lagi teruk daripada kita. Jadi bersyukur dengan apa yang kita ada. Belajar bersyukur atas apa yang Tuhan sudah beri.
2. Janganlah bandingkan kejayaan dan kekayaan orang dengan kita. Setiap orang rezeki dia lain-lain, yang penting kita fokus pada hidup kita. Jika tak puas hati sangat dengan orang lain, gunakannya sebagai motivasi dan jangan tak puas hati dengan dia. Yang paling mudah kalau hidup dah down sangat, Tuhan sentiasa ada untuk motivasi kita semua. Yang penting kita kena faham kenapa kita beramal dengannya.
3. Kena hormat pekerjaan orang lain (dalam kes ini, orang tarik kereta tu). Tak kira apa pekerjaan yang penting kita semua sama di mata Tuhan. Jangan bandingkan kerja kita lagi penting atau lagi susah daripada mereka. Tiap satu pekerjaan ada cabarannya.
4. Jangan memilih sangat kerja, saya ada degree in finance tapi buat kerja kontraktor siap pakai baju lusuh, memang kalau tak kenal fikir saya ini SPM pun tak lepas. Never judge people, hanya tuhan yang layak jadi hakim kita. Yang penting apa jenis kerja pun biarlah halal.
5. Jangan lupa ibubapa kita, selagi mampu tu pastikan bantu diaorang pasal nanti masa diaorang tak ada nanti menyesal pulak.
Ikuti bagaimana Tuan Wan Nong Muzafar menghadapi keadaan hampir muflis dan akhirnya berjaya kembali menjadi usahawan dalam sambungan bahagian 3 dan 4 pada esok hari.
by noreply@blogger.com (isu kaki panas) via Berita Isu Panas
0 comments:
Post a Comment