‘AKU MASUK PENJARA SEBAB TAK BAYAR TUNGGAKAN PTPTN’

Aku Masuk Penjara Sebab Tak Bayar Tunggakan PTPTN.jpg

Hampir sejam kakitangan di kaunter PTPTN melayan saya seorang sebab perlu merujuk kes saya dengan pihak akauntan. Terima kasih adik sebab melayan saya dengan baik. Saya simpulkan dengan anda semua agar anda tidak memandang ringan dengan perkara yang melibatkan PTPTN. Saya serius dan mengatakan ianya amat berbahaya.
1. Saya mula membuat pembayaran yang sikit-sikit sejak 2007 – 2010 kerana pada masa itu masih menganggur dan masih belajar. Faham sajalah, apa yang saya bayar selama itu tadi tiada maknanya sebab sudah digunakan untuk membayar interest sahaja. Walaupun pada masa itu saya baru habis belajar pada bulan Ogos 2007, tetapi PTPTN sudah mula mengira tunggakan dari bulan Januari 2007. PTPTN bukannya peduli pun sama ada anda masih belajar atau sebaliknya. Jadinya, tunggakan saya selama itu tadi adalah RM3,187.50 (interest 3%).
2. 2011, saya apply ujrah. Ujrah cuma mengenakan interest sebanyak 1% sahaja. Tetapi untuk memintahkan dari 3% ke Ujrah tadi berjumlah RM750 yakni masuk dalam tunggakan. Serius saya katakan yang saya tidak tahu pun ada kos seperti itu. Mungkin saya terlepas pandang atau memang sengaja tidak dimaklumkan oleh PTPTN supaya interest saya bertambah.
3. Selepas saya mendapat ujrah, tunggakan RM3,187.50 itu tadi telah dibawa sekali dalam baki pinjaman saya. Jumlah pinjaman termasuk tunggakan itu tadi adalah RM20,971.80. Baki ini yang saya perlu bayar secara konsisten melalui potongan gaji sehingga ke hari ini dan hutang saya kini tinggal RM7,837.73 (pada Disember 2015).
4. Dalam masa lima tahun, saya membuat pembayaran PTPTN melalui potongan gaji. Jumlah potongan pula sentiasa berubah-ubah. Dari RM180 bertambah ke RM210. Sejak tahun 2013 pula bulanannya bertukar ke RM271 sehinggalah ke hari ini. Saya tak kisah sebab saya fikir mungkin begitulah cara PTPTN membuat pemotongan. Menurut PTPTN, saya sepatutnya bayar RM216 setiap bulan sehingga habis hutang.
5. Disebabkan kesilapan penjadualan jumlah pemotongan gaji itu tadi, saya terpaksa menanggung interest itu dari 2007 – 2015. Anda bayangkan, bagaimana perasaan saya pada ketika itu? Dah bagus saya membuat pembayaran melalui potongan gaji setiap bulan dengan harapan hutang diselesaikan segera. Tetapi dalam kesopanan saya membuat pembayaran dengan cara itu, rupa-rupanya ada jumlah tersembunyi yang saya perlu selesaikan.
“Salah saya kah?”
Jika PTPTN sudah tahu berlakunya kesilapan penjadualan pembayaran dari mula, kenapa tak hantar surat cepat-cepat supaya saya dapat menyelesaikannya dengan Unit Gaji? Kenapa bila hutang saya dah nak habis, perkara ini baru nak dimaklumkan kepada saya? Hancur hati saya mengetahui semua ini!
6. Tunggakan berjumlah RM5,423/09 yang mereka minta sebelum ini adalah jumlah yang sudah termasuk semua-semua yang saya ceritakan di atas. Jumlah itu mesti dibayar juga. Nak bayar secara ansuran pun tak guna sebab surat saman tetap dikeluarkan selepas 30 hari dari tarikh surat itu dikeluarkan.
Saya tetap cuba membuat rayuan agar tunggakan itu tadi diselaraskan saja pembayarannya melalui potongan gaji. Namun PTPTN enggan berbuat demikian dan mereka tekankan untuk bayar segera. Jika tidak, interest akan tetapi dikenakan sampai mati.
Saya tak dapat membuat pembayaran itu sebab dah tak ada duit nak bayar. Kalau saya mampu bayar banyak sekali gus, baik saya tak perlu minta potong gaji kan?
7. Berbalik pada cerita kesilapan penjadualan gaji tadi, saya kata, “Kalau sudah berlaku kesilapan, selesaikanlah mengikut jadual yang sebenar,” (RM216 sebulan, bukan RM271).
“Tak dapat puan, puan mesti bayar baki RM5,423.09 dulu, barulah dapat. Jika puan bayar jumlah itu, maka baki hutang puan hanya tinggal RM2,000 saja lagi,” katanya.
Aih? Kalau dah baki tinggal RM2,000, apa guna saya nak menstruktur semula jumlah potongan itu? Lebih baik saya bayar habis saja baki RM7,000 itu (kalau saya kaya).
Bagi orang yang mempunyai banyak duit, memang tak banyak, tetapi PTPTN perlu ingat bahawa latar belakang peminjam adalah memang dari keluarga yang susah. Kalau keluarga tak susah, buat apa nak memohon pinjaman pendidikan? Jadi, bila peminjamnya sudah bekerja, mungkin peminjam perlu menyara/membayar tanggungannya yang mungkin banyak, bukannya mula kerja saja terus membayar PTPTN saja kan?
8. Kesimpulannya, PTPTN memang tidak dapat diajak berbincang lagi. Jika mereka mendesak peminjam membuat pembayaran, maka mesti bayar juga. Saya pun tak dapat nak berkata apa-apa lagi, kalau saya disumbat dalam penjara, mesti banduan yang lain bertanya pada saya seperti:
“Kenapa kau masuk penjara? Kau bunuh orang ke?” – Banduan
“Aku masuk penjara sebab tak bayar tunggakan PTPTN,”
Sudah tentu bantuan yang bertanyakan soalan itu cepat-cepat minta digantung.
9. Nasihat saya kepada anda semua
Yang membuat pembayaran melalui potongan gaji, semak penjadualan sebenar anda dengan unit gaji. Kesan sebarang ralat atau kesilapan dengan lebih awal. Jangan jadi seperti saya!
Yang membuat pembayaran secara manual, semak tunggakan anda sebelum interestnya beranak pinak sampai anda berusia 60 tahun pun masih belum habis hutang dibayar.
Yang belum membuat sebarang pembayaran langsung, usahakan untuk membuat pembayaran. Nanti nak pergi Umrah, pergi Haji dan melancong, terkandas pula di bahagian Imigresen.
10. Sekian saja cerita dari saya buat anda semua. Jika ada duit lebih, simpan untuk anak-anak sebagai kegunaan untuk membiayai kos pendidikan mereka kelak. Jangan sesekali meminjam. Assalamualaikum. – Cammellia Othman Kabilah

by noreply@blogger.com (Rakyat Sembang) via BERITA RAKYAT

Share this:

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment