Kisah Seram Tukang Gantung Dari Jabatan Penjara
SETIAP kesalahan yang manusia telah buat sama ada kecil atau besar ia haruslah dihukum. Antara hukuman terberat dijatuhkan pada pesalah adalah "GANTUNG SAMPAI MATI" membuatkan orang takut akan hukuman ini.
Kisah Seram Tukang Gantung Dari Jabatan Penjara |
AL-KISAH BERMULA....
Tadi aku membaca mengenai cadangan Malaysia untuk meminda hukuman mati melibatkan kesalahan mengedar dadah. Ada baik dan ada juga tak baik hukuman mati ni. Tapi kalau tanya pendapat aku secara personal, yang patut dipinda dulu adalah hukuman sebat. Hukuman sebat bagi aku merupakan hukuman yang zalim dan kejam. Dalam Islam tidak ada hukuman sebat hingga menyebabkan pelakunya menderita sebegitu teruk seperti mana yang aku saksikan di penjara tak lama dulu.
Dalam Islam sebagai contoh, hukuman sebat lebih kepada mendidik, si tukang sebat tak boleh angkat tangan atas melebihi kepala, Tetapi hukuman sebat di penjara kita Nauzubillah. Dahlah pesalah dipakaikan cawat, disebat di tempat yang sama iaitu di punggung dengan sekuat hati sampai darah memercik dan macam nak pecah isi-isi daging!
Baik berbalik kepada hukuman gantung ini, aku dah dua tiga kali bertemu dan menemubual seorang tukang gantung yang bertugas di Jabatan Penjara Malaysia. Banyak yang beliau ceritakan mengenai 'tugasannya' . Dan antara soalan yang aku ajukan pada beliau - apa pengalaman yang tak dapat dilupakan sepanjang bertugas sebagai tukang gantung ini?
Pegawai ini seorang berketurunan Sikh. Pada mulanya beliau agak keberatan menjawab soalan aku itu. Beliau lebih selesa bercakap bab prosedur, kaedah dan sebagainya which is bagi aku dah ramai tahu. Aku perlukan 'lebih' dari itu. Lama-kelamaan beliau semakin OK dengan aku dan menceritakan A to Z mengenai pengalaman 'mendebarkan' yang pernah beliau lalui.
Antaranya menurut pegawai itu, beliau sering dapat'tanda-tanda' tertentu sebelum mendapat arahan menggantung banduan. Antaranya beliau akan rasa PANAS di sekitar lehernya. Jika itu terjadi katanya, beliau akan standby kerana dua tiga hari lepas itu PASTI beliau akan mendapat tugasan tersebut.
Tukang gantung itu juga menceritakan satu kejadian aneh sepanjang beliau bertugas selama ini. Ada satu peristiwa di mana beliau gagal menemui kunci rumahnya sedangkan beliau perlu segera ke penjara untuk melaksanakan hukuman. Untuk rekod, dalam undang-undang pihak penjara diperuntukan masa tertentu untuk menjalankan hukuman berkenaan. Sekiranya hukuman itu tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut, ia merupakan satu kesalahan besar!
"Subuh itu saya dah bersedia untuk menggantung seorang banduan ini tetapi bayangkan kunci rumah saya tiba-tiba hilang. Kunci pintu tiada, kunci pagar lesap, kunci mangga entah ke mana, semua tak ada. Apa lagi saya terpaksa menelefon rakan untuk membuka pintu rumah dan nasib baik, saya sempat menjalankan 'kerja' saya," katanya yang menganggap ia satu peristiwa misteri yang masih beliau tak menemui jawabannya.
Beliau juga pernah dikunjungi 'kelibat' seorang banduan yang baru beliau gantung. Menurut tukang gantung itu, sebelum banduan berkenaan menjalani hukuman, dia ada meminta supaya diberi peluang untuk menghisap rokok buat kali terakhir. Namun permintaan itu ditolak kerana menyalahi peraturan dan mereka juga sudah kesuntukan masa. Selepas selesai menggantung banduan itu hingga mati, pegawai berkenaan kembali ke pejabatnya untuk menghabiskan kerja sebelum pulang ke rumah.
"Masa tu saya rasa mengantuk yang amat sangat sehingga membuatkan saya tersengguk-sengguk. Ketika inilah 'kelibat' banduan itu muncul depan mata saya. Saya memang sangat terkejut. 'Dia' tidak bercakap tetapi menunjukkan isyarat seolah-olah mahukan sebatang rokok untuk dihisap. Saya cakap sudahlah...kamu sudah dalam alam lain...pulanglah ke tempat kamu...jangan ganggu saya lagi...lepas itu perlahan-lahan bayang-bayangnya hilang," katanya yang mengakui akan meremang bulu roma setiap kali mengingatkan kejadian itu.
Mengenai keadaan mayat yang digantung, pegawai tersebut memberitahu, selalunya muka pesalah akan bertukar kebiruan atau kehitaman selepas digantung kerana kekurangan oksigen.
Ujarnya, lidah pesalah juga akan terjelir sedikit dan leher akan mengecil hingga sekecil batang penyapu.
Tetapi yang paling menggerunkan, sebaik sahaja ikatan dilonggarkan, selalunya akan kedengaran bunyi`dengusan’ atau sendawa daripada mulut mayat berkenaan. “Bunyinya seperti ini…. ERRKKKKKKK....ia sebenarnya hasil tindak balas gas dalam badan tetapi kalau kita tak biasa, kita mungkin terkejut besar,” katanya sambil ketawa.
Beliau yang mengakui kerap tersentuh hati ketika melaksanakan hukuman gantung menasihati orang ramai supaya menjauhi jenayah kerana ia boleh merosakkan diri sendiri, bangsa, negara dan agama.
“Cuma saya minta orang ramai supaya jangan menghina banduan-banduan akhir ini kerana mereka sekurang-kurangnya tahu bila akan mati dan berkemungkinan sudah bertaubat, tetapi bagaimana pula dengan kita?
“Terus terang saya katakan ada kalanya mayat mereka lebih sempurna daripada mayat orang lain, ada mayat banduan yang saya gantung itu berbau wangi dan ada yang wajahnya berseri-seri serta tersenyum seolah-olah `pemergian’ mereka dirahmati-Nya,” ujar beliau.
Sebelum meminta izin untuk berundur diri, beliau berkata: “Saya berharap cerita saya ini dapat memberi keinsafan dan pengajaran kepada kita semua.
“Ingatlah, seandainya saya sudah menarik `gear’ di bilik gantung itu, hanya keajaiban sahaja yang boleh menyelamatkan nyawa banduan tersebut dan sejarah telah membuktikan… keajaiban itu tidak pernah berlaku!”
Kali terakhir aku berjumpa pegawai Sikh itu kira-kira lima enam tahun lepas. Mungkin dia dah bersara sekarang. Aku rasa kalau dia tulis buku mengenai pengalamannya sebagai tukang gantung, confirm kalah Stephen King ngan Ramlee Awang Murshid hehehehe....
Kredit : Oleh Syahril A Kadir
by noreply@blogger.com (saijamoke) via ohh sem
0 comments:
Post a Comment