10% sahaja artis yang berjaya, 90% lagi tidak banyak duit.
PETALING JAYA: Tidak semua artis mampu hidup mewah dan layak membayar cukai pendapatan seperti disarankan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, hanya 10% artis sahaja berjaya mencipta nama dan meraih pendapatan tinggi dalam industri seni.
“Kita cuma boleh katakan hanya 10% sahaja artis yang berjaya, 90% lagi tidak banyak duit. Kita sebagai artis, jaminan dalam seni juga tidak ada.
“Kita bukannya bekerja tetap, kalau bekerja tetap kita akan tahu berapa gaji yang diperoleh,” katanya kepada FMT.
Jelas Zed Zaidi, tidak semua artis mampu mengupah akauntan untuk menguruskan akaun, bahkan ada segelintir artis langsung tidak menerima sebarang tawaran.
“Artis hanya mempunyai bakat lakonan dan nyanyian, tapi kita tidak ada bakat mengira tentang pembayaran. Dalam seni ini, bila kita dapat tawaran, kita dapat RM15,000 untuk 3 bulan.
“Dalam 3 bulan nak kena tolak kos baju, alat solek, petrol dan sebagainya. Jadi, paling busuk dalam tempoh 3 bulan itu gajinya hanya RM3,000 hingga RM4,000. Selepas itu, 3 bulan tidak dapat tawaran. Jadi, bagaimana nak mengiranya?” soal beliau.
Di bawah Akta Cukai Pendapatan di bawah Seksyen 90(3), ketua pengarah boleh menentukan jumlah yang dapat dikenakan kepada seseorang dalam masa setahun dan sewajarnya.
Sebelum ini, LHDN menyatakan berdasarkan sampel analisis menyatakan 50% selebriti yang terdiri daripada pelakon, pengarah, deejay radio, dan model tidak menghantar borang B.
Badan itu menyatakan, pengelak cukai akan dibawa ke mahkamah sekiranya mereka gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai.
“Dalam satu senario di mana mereka tidak menyerahkan Borang B, LHDN boleh menganggarkan berapa banyak yang mereka akan dikenakan.
“Kita akan failkan tindakan undang-undang jika mereka tidak membayar cukai,” katanya.
Sementara itu, pelakon Khir Rahman dan personaliti televisyen, Daphne Iking menyatakan sebagai rakyat Malaysia, mereka tetap menjalankan tanggungjawab dan menganggap ia sumbangan kepada negara.
“Saya membayar kepada kerajaan selagi saya mencari pendapatan untuk kehidupan,” kata pelakon filem Rock itu.
Bagaimanapun, Khir menyatakan menjadi satu kesalahan kepada LHDN menyatakan selebriti hidup serba mewah.
“Kami mungkin nampak glamor pada luarannya, tapi kami terpaksa menanggung kos termasuk perhiasan diri,” katanya.
Sementara itu, Daphne menyatakan cukai tidak boleh dielak walau apa cara sekalipun.
“Dalam kehidupan, kita tidak boleh lari daripada membayar cukai dan maut. Saya mula membayar cukai sejak mula bekerja,” katanya.
Kata Daphne, selebriti yang mengelak daripada membayar cukai dipercayai bersikap tidak ambil peduli.
“Mereka mungkin tidak mengetahui akibat tidak membayar cukai sehingga mereka fikir boleh lari daripada LHDN,” katanya.
by noreply@blogger.com (Rakyat Sembang) via BERITA RAKYAT
0 comments:
Post a Comment