Soalan kondom tak sesuai, bidas PIBG nasional


Soalan kondom tak sesuai, tak patuh syariah, bidas PIBG nasional 


 
 
© Provided by MToday News Sdn Bhd kondom

PETALING JAYA: Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) berkata soalan kesan penjualan kondom secara terbuka dalam peperiksaan percubaan Tugasan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tidak sesuai dan tidak patuh syariah.

Presidennya Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan menyarankan kerajaan supaya memikirkan kembali soalan berbentuk sedemikian dengan melihat kepada kesesuaian umur pelajar.

“Soalan sebegitu tidak sesuai untuk pelajar Tugasan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini macam beri galakan kepada pelajar untuk melayari (internet) dan mencari maklumat mengenai kondom.”

“Soalan begitu sudah tentu tidak patuh syariah dan perlu dielakkan malah dijauhi sebaik mungkin,” katanya kepada FMT.

Ibu bapa dan netizen hari ini kecoh apabila soalan dalam bentuk kertas peperiksaan percubaan Tugasan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tersebar di media sosial, yang berbunyi:

“Penjualan kondom secara terbuka di kedai akan memberi impak negatif hingga menimbulkan masalah sosial dalam sesebuah masyarakat. Adakah anda bersetuju? Berikan penjelasan anda.”

Kepada soalan itu jawapannya “kondom merupakan satu langkah kawalan untuk mencegah kehamilan”, tetapi ditandai sebagai salah oleh pemeriksa.

Bukan sahaja ibu bapa mempersoalkan kewajaran soalan seperti itu ditanya dalam kertas ujian sains dan bukannya pendidikan moral, mereka juga ingin tahu jawapan yang dikehendaki.

“Saya sebagai ibu bapa yang beragama Islam tertanya terkejut dengan soalan yang diberikan itu,” kata Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Bagi Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim.

“Tidak pernah terfikir oleh saya (yang) soalan sebegitu boleh diberikan kepada pelajar.

“Soalan itu hanya akan mengundang anak-anak untuk terlibat dalam gejala sosial,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon ketika dihubungi FMT mahu melihat isu ini terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Bila punya PT3 itu? Betulkah yang diviralkan? Tidak ada pun dan sekarang bukan musim PT3,” katanya.

“Pertamanya, saya tidak tahu. Sekarang bukan musim PT3 dan kedua, saya tidak membaca apa yang diviralkan itu.”

by noreply@blogger.com (Rakyat Sembang) via BERITA RAKYAT

Share this:

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment