Lelaki Maut Diserang Beruang Ketika Kutip Durian



GUA MUSANG, 11 Ogos: Seorang lelaki maut diserang oleh seekor beruang dalam sebuah kebun durian di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Renok Baru dalam kejadian pada awal pagi tadi.

Mangsa, seorang warga Indonesia, dikenali sebagai Mat Didik@Madidi Basa, 40, ditemui oleh anaknya dalam parit kira-kira jam 6 pagi tadi selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar dari jam 10 malam tadi untuk mengutip durian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata serangan itu dipercayai berlaku lewat malam tadi ketika mangsa pergi ke kebun durian seorang diri. Katanya, haiwan berkenaan dipercayai berada di atas pokok sebelum menerkam mangsa dan berlaku pergelutan menyebabkan lelaki terbabit jatuh ke dalam parit itu.

"Mangsa ditemui mati dalam parit berkenaan dengan kesan kecederaan parah di kepala dipercayai dicakar beruang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rajab Ahad berkata, berdasarkan kenyataan anak mangsa, lelaki berkenaan sering ke kebunnya seorang diri terutama pada waktu malam untuk melihat buah durian.

"Difahamkan, beruang berkenaan sudah dikesan berkeliaran di sekitar kebun terbabit sejak sebulan lalu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat," katanya.

Sumber : http://ift.tt/2aN3537


by noreply@blogger.com (isu kaki panas) via Berita Isu Panas

Share this:

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment