Penerbangan tambang murah Baru-Rayani Air mula tawar penerbangan tambang murah



KAKITANGAN Rayani Air bergambar selepas majlis penerimaan Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah PUTRAJAYA: Malaysia akan menyaksikan kemasukan perkhidmatan penerbangan tambang mula baru apabila Rayani Air Sdn Bhd, (Rayani Air) menerima Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL). Lesen yang diperoleh daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu membolehkan syarikat penerbangan dengan konsep pematuhan syariah itu menawar perkhidmatan penerbangannya bermula esok. Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, berkata audit menyeluruh sudah dijalankan ke atas syarikat penerbangan berkenaan yang menepati segala peraturan yang ditetapkan untuk operasi penerbangan, penyelenggaraan pesawat serta pematuhan kawal selia. "Sebagai badan kawal selia, DCA akan sentiasa melakukan audit dan pemeriksaan ke atas semua syarikat penerbangan supaya sentiasa berada dalam tahap keselamatan tertinggi seperti yang dikehendaki dalam Akta Penerbangan Awam 1969," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan AOC dan ASL kepada Ketua Pegawai Operasi Rayani Air, Sumar Lee Hashim Lee, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari. Sementara itu, Jaafar berkata, setakat ini Rayani Air yang menjadi syarikat penerbangan pertama di negara ini yang mengamalkan konsep patuh syariah mempunyai sebanyak 158 petugas dengan lapan juruterbang dan 50 pramugara serta pramugari. "Buat masa ini, Rayani Air akan melakukan penerbangan lima kali seminggu dengan penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi esok. "Selain itu laluan penerbangan lain adalah ke Kota Bharu, Kelantan dan awal tahun depan Rayani Air akan melebarkan sayap ke Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah," katanya. Beliau berkata ketika ini Rayani Air mempunyai dua pesawat Boeing jenis B737-400 dan menyasar untuk mengembangkan operasi ke destinasi domestik lain serta luar negara seperti rantau Asia Pasifik seperti Indonesia dan Filipina.



by noreply@blogger.com (Put Ra) via Paling Busuk

Share this:

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment